Saturday, October 6, 2012

aku dan dia...



Aku pernah ada dia. Dan dia pernah ada aku. Kami bersahabat. Sangat akrab. Aku sangat menyukainya. Tapi dia keliru samada suka atau kurang suka atau biasa-biasa saja dengan aku. Aku buntu, dia tidak. Dia meneruskan hidup. Aku mati. Ketika dia juga mati (baru ini ku tahu) ,dipanah cinta, demi cinta, demi cinta, demi cinta yang tidak pernah jemu untuk keluar masuk ke dalam hatinya selepas itu, aku masih juga tidak bangun-bangun dari kematian lama.
Ketawa. Bercerita. Itu yang kami lakukan dulu. Bahagia. Bahagia dalam definisi aku, tentunya. Dia mungkin hanya 'senang' sahaja.
Matanya. Senyumannya. Nyaman.
Jujur. Terlalu jujur sehingga naif. Dulu aku fikir dia begitu. Kini baru ku tahu, yang naif itu aku. Bukan dia.
Dia hilang dari ku tiba-tiba. Pergi mengikut angin. Angin yang malu untuk membawa khabar dia pada ku. Aku biarkan dia pergi. Aku biarkan angin pergi. Setiap kali aku tahu dia ada, setiap kali terjah ingatan sampai padanya, aku lari ke dasar lautan. Bersembunyi di celah batu dan karang agar air mata larut bersama masinnya laut. Masin itu membuatkan hatiku perih. Sakit teramat hingga tidak terasa sakitnya lagi.
Setelah 4 tahun namanya tidak kusebut, hari ini, malam ini, saat ini, ku sebut semula nama dia. Dan baru ku tahu juga, dia sudah menukar nama. Dia sudah menukar ideologi. Dia suka kuning dan juga hijau. Bukan merah, bukan biru, bukan juga unggu.
Aku mencari-cari saki baki kewujudan aku dalam diarinya. Tiada. Langsung tiada. Aku rasakan masinnya air laut sudah membelit jantung. Pecah di situ.

Aku...tetap begini. Menerima semua elemen (tragedi?) yang berlaku di sekelilingku dengan seadanya. Atau mungkin terlalu redha, pasrah? Pengecut barangkali. Dia berkata, ideanya untuk menulis tumpah selerak ketika dalam kesedihan. Adakah aku ingin mendoakan dia sedih selama-lamanya? Agar boleh aku saksikan suara-suara hati celaru, keanak-anakkan, bingung dan berasa betapa nasib selalu tidak menyebelahi dirinya di tinta siber ini?
Setiap kali berdepan dengan dia, ada seribu satu soalan akan bermain di fikiran. Bukan, sejuta soalan. Dan semua soalan itu tidak ada jawapan. Sudah dilempar jauh-jauh di lautan maha dalam. Ia terdampar di dasarnya.
Aku suka akan dia. Walau aku tahu dia sudah tidak ingat pada aku. Di dalam tidur, jaga, jauh sekali di dalam mimpi. Aku tak mendambakan dia untuk menjadi orang yang aku dambakan. Tidak pernah. Tapi aku suka akan dia...

No comments: