Saturday, December 20, 2008

MENCARI SATU TITIK

Lately, aku semakin bosan dengan diri sendiri. Bosan yang sungguh-sungguh. Sampaikan aku rasa aku nak campak je badan aku ni kat dinding. Tapi tak larat nak angkat, hehehe. (aku da gemuk skang wei, susah ati betol!) . So aku sedang mencari-cari satu perkara yang membolehkan aku tak bohsan peringkat gaban macam sekarang. Aku pun tulis cerpen. Tapi aku rasa cerpen aku nih, mcm sengal jek. Sebab takde idea nak sambung tulis. Otak jadi pengap dan bengap. Jadinya, aku pun bertambah buhsan laaaa. Nanti kalau ada idea aku sambung balik...

Satu hari (sekarang ni) aku terfikir... Aku rasa aku dah lama sangat menanti. Menanti dan mencari satu titik. Dulu, satu masa dulu aku ingatkan aku dah jumpa titik tu. Rupanya itu bukan titik, koma je. Penat sebenarnya bila aku tumpukan sangat untuk sudahkan masalah ni. Macam takde benda lain nak pikir. Tapi lagi aku tak nak pikir, lagi banyak aku pikir. Datang bertalu-talu mcm gerabak ketapi...

Aku rasa aku dah hilang seorang kawan yang sangat aku suka. Tapi seperti biasa dia tak tau aku suka dan senang berkawan dengan dia. Dan aku tau, kenapa dia pergi dari aku. Sebab, keterujaan, dah mati. Dah takde lagi... Salah aku juga. Terlalu membuka jalan untuk dia mengharungi keterujaan tu. Ermm salah aku... Tapi lately juga, seorang kawan lain yang aku sangka dah lama hilang ramahnya, kembali memberi api semangat. Tapi perangai lama dia tetap tak berubah, memberi api, kemudian mencurahkannya kembali dengan air... dan seperti selalu, pergi lagi... Atau aku yang tak tau bersyukur dengan apa yang Tuhan dah bagi? Depan mata. Tapi dia tak nampak aku...

Ah... kat luar dah mula hujan. Aku nak pegi tangkap rama-rama.

ASSALAMMUALAIKUM

Assalammualaikum kawan-kawan..
Mana korang pegi? Mana semua orang pegi? Kenapa semua orang senyap je. Apa yang dah berlaku ni? Semua orang bz sangat ke lately? :(
Tiba-tiba aku rasa sunyi sangat. Hari ini 19hb Disember 2008. Aku sepatutnya balik keje pukul 12 tghmlm. Tapi boring, lepak kat ofis buang masa, bukak blog. Aku tengok semua org buat hal masing-masing. Tak meriah mcm dulu... ke, aku yang menjauhkan diri dari korang? Tak faham...
Keterujaan kadang-kadang datang tanpa diundang dan tak disangka-sangka. Yang sedihnya, ia akan hilang secepat ia hadir. Bila keterujaan itu sudah mati, yang tinggal hanya memori dan binaan kekecewaan yang konkrit. Menunggu satu saat lain, di mana ada satu makhluk yang ambik tukul besi, pecahkan dinding konkrit tu.

Tapi, bila si penukul besi tu nak datang? Tahun depan? 2 tahun lagi? 10 tahun lagi. Aku takut, bila nanti dia datang, aku dah mati....

Yang tinggal hanyalah memori... Dan dinding konkrit tu tak akan boleh dirobohkan lagi...

Wednesday, December 10, 2008

CERPEN SAMBUNGAN ...3

"Ada pergerakan pada bebola mata pesakit doktor!”
”Awak pasti?”
”Pasti doktor. Ia berlaku lebih 2 minit.Tapi sehingga sekarang pesakit masih belum sedar dan membuka mata sepenuhnya”
"Tidak mengapa, pesakit masih berusaha. Beri dia sedikit masa lagi. Nurse, laporkan perkembangan setiap jam”
”Baik doktor”
”Mawar... Cik Mawar...” Tiada jawapan. Sunyi. Dan mereka pun berlalu.

**

Perbualan itu seperti terakam dalam kepala. Berputar-putar. Mana? Di mana aku? Di mana mereka? Sekonyong-konyong terdengar bunyi seruling. Jalan di depan masih panjang. Bau hanyir sudah hilang. Suara seruling kembali datang.

Dari kejauhan terdengar sayu. Entah kenapa, aku kenal suara seruling itu. Dulu, suatu masa dulu aku pernah mendengar tiupan serupa. Sewaktu berdiri-diri di sebalik lorong di belakang rumah jagaan. Berdiri-diri menekap telinga ke dinding. Selain suara azan dan khutbah sekali-sekali, bunyi ini yang terakam di minda. Bunyi inilah. Seruling sayu yang menusuk. Aku kenal sungguh. Kemudian senyap! Sunyi. Kaku. Beku.

Tapi, ah! Kenapa? Mengapa di sini? Apakah ini penghujung waktu? Sudah habis? Adakah aku tak akan pulang ke rumah jagaan lagi? Ke lorong belakang tembok?. Mendengar azan? Curi-curi mendengar khutbah? Bunyi seruling? Dan kadangkala angin menyanyi? Adakah?

CERPEN SAMBUNGAN ... 2


Seperti semilir yang berbisik, aku terdengar satu suara. Suara yang memanggil nama ku dengan lembut. Aku terpana. Mencari arah suara itu. Kala ini aku mahu berdiri. Namun lutut terasa mahu rebah. Sempat juga kurasai tanah bersama rumput yang masih berada di dalam genggaman. Rumput itu kekuatanku kini. Sejurus suara itu hilang...
Aku ingin membuka mata luas-luas. Terasa pedih. Tiba-tiba terasa dada seperti mahu pecah. Namun, datang kekuatan, entah dari mana memaksaku untuk terus berjalan. Lalu aku pun berjalan. Perlahan-lahan nampak seperti satu laluan berbalam-balam di hadapan. Menuju satu titik yang sangat jauh. Semakin aku berjalan, titik itu seperti berlari meninggalkanku. Aku terfikir-fikir, di mana penghujung jalan itu.
Rumput di tanganku sudah kulepaskan. Dengan tangan yang masih berbau tanah, aku lekapkan telapak pada penghujung dada. Terasa ada lelehan likat. Hanyir. Darah!. Sejurus itu langkah menjadi perlahan. kesakitan menjalar di setiap ruang. Jantung terasa seperti mahu berhenti. Semakin lemah, dan lemah...

Monday, December 8, 2008

CERPEN : NAMAKU MAWAR

Nama aku Mawar. Mawar Kusinar. Entah kenapa sehingga saat ini, aku tidak faham (atau sengaja tidak mahu mengerti) apa kaitan nama itu dengan diriku sendiri. Mungkin mereka yang menamakan aku waktu itu, sudah buntu memikirkan apa yang paling molek untuk diriku yang tidak diketahui lahir dari benih penyatuan cinta manusia apa. Nama yang semakin lama mengekori, akhirnya menjadi pendamping paling setia. Walau tidak kupamerkan, jauh disudut hati, aku sebenarnya semakin menggemari nama itu. Mawar, Mawar Kusinar.... indah
Aku tidak diketahui asal usul. Itu yang diberitahu oleh penjaga di rumah jagaan kebajikan yang aku diami sedari kecil. Dan aku pun tidak pernah mahu tahu siapa aku. Kerana siapa pun aku, ia tidak akan mengubah apa-apa. Tidak akan mengubah apa-apa pun... aku tanamkan pendirian itu sedari, aku mampu berfikir. Entah marah kerana aku dibuang (dibuang?) oleh pencinta yang melahirkan aku, atau marah kepada diri sendiri yang gagal menjadi 'cinta' kepada mereka.
Aku menjadi perengus sejak itu. Kesepian dan kebisuan adalah milik mutlakku. Aku lebih suka menyepi dan menyisih hanya kerana tersisih dari manusia yang aku kasih. "Mungkin juga takdir kadangkala dilihat bersifat kejam. Tapi sebagai manusia kita tidak tahu apa rencana yang telah ditulis oleh Pemilik Agung kepada diri kita sebagai hamba". Aku menjadi lebih kuat hanya setelah mentafsir kata-kata azimat yang aku curi dengar itu, ketika melintasi lorong belakang sebuah masjid, yang memisahkan rumah jagaan, satu blok dari dunia luar.
Pada suatu pagi yang permai, (pagi yang merubah kehidupanku sehingga saat ini) sedang aku merenung keluar kaca jendela memerhati rintik hujan, aku tiba-tiba terfikir untuk ingin berlari mengikut angin. Bertanya mengapa ia pergi bersama rintik hujan yang dibawa lari daripadaku. Dari saat itu, aku berlari dan berlari. Mencari dan mencari. Jika penat aku berjalan. Dan kemudian berlari lagi...
Sampai satu saat aku sudah tidak melihat ada angin lagi didepan ku. Gelap. Teramat. Aku mencari cahaya. Tidak ketemu. Aku pun meraba mencari tanah. Ku ramas rumput yang menjalar di kaki, merasa daunnya dengan jemariku.