Wednesday, December 10, 2008

CERPEN SAMBUNGAN ... 2


Seperti semilir yang berbisik, aku terdengar satu suara. Suara yang memanggil nama ku dengan lembut. Aku terpana. Mencari arah suara itu. Kala ini aku mahu berdiri. Namun lutut terasa mahu rebah. Sempat juga kurasai tanah bersama rumput yang masih berada di dalam genggaman. Rumput itu kekuatanku kini. Sejurus suara itu hilang...
Aku ingin membuka mata luas-luas. Terasa pedih. Tiba-tiba terasa dada seperti mahu pecah. Namun, datang kekuatan, entah dari mana memaksaku untuk terus berjalan. Lalu aku pun berjalan. Perlahan-lahan nampak seperti satu laluan berbalam-balam di hadapan. Menuju satu titik yang sangat jauh. Semakin aku berjalan, titik itu seperti berlari meninggalkanku. Aku terfikir-fikir, di mana penghujung jalan itu.
Rumput di tanganku sudah kulepaskan. Dengan tangan yang masih berbau tanah, aku lekapkan telapak pada penghujung dada. Terasa ada lelehan likat. Hanyir. Darah!. Sejurus itu langkah menjadi perlahan. kesakitan menjalar di setiap ruang. Jantung terasa seperti mahu berhenti. Semakin lemah, dan lemah...

No comments: