Monday, December 8, 2008

CERPEN : NAMAKU MAWAR

Nama aku Mawar. Mawar Kusinar. Entah kenapa sehingga saat ini, aku tidak faham (atau sengaja tidak mahu mengerti) apa kaitan nama itu dengan diriku sendiri. Mungkin mereka yang menamakan aku waktu itu, sudah buntu memikirkan apa yang paling molek untuk diriku yang tidak diketahui lahir dari benih penyatuan cinta manusia apa. Nama yang semakin lama mengekori, akhirnya menjadi pendamping paling setia. Walau tidak kupamerkan, jauh disudut hati, aku sebenarnya semakin menggemari nama itu. Mawar, Mawar Kusinar.... indah
Aku tidak diketahui asal usul. Itu yang diberitahu oleh penjaga di rumah jagaan kebajikan yang aku diami sedari kecil. Dan aku pun tidak pernah mahu tahu siapa aku. Kerana siapa pun aku, ia tidak akan mengubah apa-apa. Tidak akan mengubah apa-apa pun... aku tanamkan pendirian itu sedari, aku mampu berfikir. Entah marah kerana aku dibuang (dibuang?) oleh pencinta yang melahirkan aku, atau marah kepada diri sendiri yang gagal menjadi 'cinta' kepada mereka.
Aku menjadi perengus sejak itu. Kesepian dan kebisuan adalah milik mutlakku. Aku lebih suka menyepi dan menyisih hanya kerana tersisih dari manusia yang aku kasih. "Mungkin juga takdir kadangkala dilihat bersifat kejam. Tapi sebagai manusia kita tidak tahu apa rencana yang telah ditulis oleh Pemilik Agung kepada diri kita sebagai hamba". Aku menjadi lebih kuat hanya setelah mentafsir kata-kata azimat yang aku curi dengar itu, ketika melintasi lorong belakang sebuah masjid, yang memisahkan rumah jagaan, satu blok dari dunia luar.
Pada suatu pagi yang permai, (pagi yang merubah kehidupanku sehingga saat ini) sedang aku merenung keluar kaca jendela memerhati rintik hujan, aku tiba-tiba terfikir untuk ingin berlari mengikut angin. Bertanya mengapa ia pergi bersama rintik hujan yang dibawa lari daripadaku. Dari saat itu, aku berlari dan berlari. Mencari dan mencari. Jika penat aku berjalan. Dan kemudian berlari lagi...
Sampai satu saat aku sudah tidak melihat ada angin lagi didepan ku. Gelap. Teramat. Aku mencari cahaya. Tidak ketemu. Aku pun meraba mencari tanah. Ku ramas rumput yang menjalar di kaki, merasa daunnya dengan jemariku.

No comments: