Monday, October 15, 2012
Tuesday, October 9, 2012
Saturday, October 6, 2012
aku dan dia...
Aku pernah ada dia. Dan dia pernah ada aku. Kami bersahabat. Sangat akrab. Aku sangat menyukainya. Tapi dia keliru samada suka atau kurang suka atau biasa-biasa saja dengan aku. Aku buntu, dia tidak. Dia meneruskan hidup. Aku mati. Ketika dia juga mati (baru ini ku tahu) ,dipanah cinta, demi cinta, demi cinta, demi cinta yang tidak pernah jemu untuk keluar masuk ke dalam hatinya selepas itu, aku masih juga tidak bangun-bangun dari kematian lama.
Ketawa. Bercerita. Itu yang kami lakukan dulu. Bahagia. Bahagia dalam definisi aku, tentunya. Dia mungkin hanya 'senang' sahaja.
Matanya. Senyumannya. Nyaman.
Jujur. Terlalu jujur sehingga naif. Dulu aku fikir dia begitu. Kini baru ku tahu, yang naif itu aku. Bukan dia.
Dia hilang dari ku tiba-tiba. Pergi mengikut angin. Angin yang malu untuk membawa khabar dia pada ku. Aku biarkan dia pergi. Aku biarkan angin pergi. Setiap kali aku tahu dia ada, setiap kali terjah ingatan sampai padanya, aku lari ke dasar lautan. Bersembunyi di celah batu dan karang agar air mata larut bersama masinnya laut. Masin itu membuatkan hatiku perih. Sakit teramat hingga tidak terasa sakitnya lagi.
Setelah 4 tahun namanya tidak kusebut, hari ini, malam ini, saat ini, ku sebut semula nama dia. Dan baru ku tahu juga, dia sudah menukar nama. Dia sudah menukar ideologi. Dia suka kuning dan juga hijau. Bukan merah, bukan biru, bukan juga unggu.
Aku mencari-cari saki baki kewujudan aku dalam diarinya. Tiada. Langsung tiada. Aku rasakan masinnya air laut sudah membelit jantung. Pecah di situ.
Aku...tetap begini. Menerima semua elemen (tragedi?) yang berlaku di sekelilingku dengan seadanya. Atau mungkin terlalu redha, pasrah? Pengecut barangkali. Dia berkata, ideanya untuk menulis tumpah selerak ketika dalam kesedihan. Adakah aku ingin mendoakan dia sedih selama-lamanya? Agar boleh aku saksikan suara-suara hati celaru, keanak-anakkan, bingung dan berasa betapa nasib selalu tidak menyebelahi dirinya di tinta siber ini?
Setiap kali berdepan dengan dia, ada seribu satu soalan akan bermain di fikiran. Bukan, sejuta soalan. Dan semua soalan itu tidak ada jawapan. Sudah dilempar jauh-jauh di lautan maha dalam. Ia terdampar di dasarnya.
Aku suka akan dia. Walau aku tahu dia sudah tidak ingat pada aku. Di dalam tidur, jaga, jauh sekali di dalam mimpi. Aku tak mendambakan dia untuk menjadi orang yang aku dambakan. Tidak pernah. Tapi aku suka akan dia...
Friday, October 5, 2012
SASTERA MELAYU
Aku Melayu yang tak pernah malu untuk mengaku betapa Melayunya aku. Aku Melayu tegar. Identiti, jati diri, reputasi. Segalanya. Dan cintaku antaranya paling tumpah pada kesusasteraan Melayu. Satu bidang ilmu yang aku tahu ramai anak Melayu hari ini tidak gemari. Tapi aku tak peduli.
Aku sebenarnya tak sedar betapa semakin ramai Melayu yang malu dengan identiti Melayunya sendiri, sehinggalah semalam. Di sebuah institusi tinggi penjana ilmu, aku rasa dimalukan hanya kerana aku cinta pada Melayu dan kesusasteraannya. Usaha ku untuk membawa topik itu dalam penulisan akademik ditolak mentah-mentah oleh seorang Profesor Madya yang mendakwa dirinya sangat tebal dan pakar dengan budaya global dan lokal - ilmu Antarabudaya.
"I'm never learning Malay Literature during my Form 6, I took English Literature!. I simply don't like your topic. Go change it".
"Sejarah Melayu? Karya Agong Melayu? Karya Melayu tak cukup Agong. Tak layak dikaji!!"
Antara skrip paling sadis yang keluar daripada mulut Prof. Madya tu semalam. Aku terkedu. Bukan marah. Tapi kesian, dek rasa banggannya yg tak dapat disembunyikan kerana kenal King Arthur lebih daripada Sultan Mahmud Melaka.

Sunday, May 1, 2011
SIAPA? AKU ATAU DIA ?
SIAPA? AKU ATAU DIA?
Seseorang mengadu, mengenai betapa bosannya dia dengan hari-hari yang dilaluinya. Betapa dia mendambakan sesuatu yang lebih baik, sesuatu yang lebih setimpal dan lebih menghargainya. Aku pun bertanya kepada dia tentang apakah bentuk 'keinginan' yang dia mahukan itu. Jawapannya hanya satu, ENTAH. Aku terkedu. Jelas, dia sebenarnya punya banyak keinginan sehingga ketika mengatur-atur keinginan itu, dia terlupa kesemuanya. Satu hari keretanya dilanggar seorang manusia bodoh dan dungu dari arah belakang. Bagaikan gunung berapi hendak meletup, dia terus keluar dari kereta dan memarahi manusia dungu itu. Kembali ke kereta, dia menangis. Menangis semahu-mahunya. Sebentar diamuk amarah, sebentar dihambat pilu yang teramat. Pada aku, dia menanggung derita yang 'memamah' dirinya dari dalam. Perlahan-lahan. Dia kesunyian, dia perlu teman. Kemudian, aku merenung diriku. Bukankah aku pun begitu?....
Friday, October 9, 2009
MENGENAL INSAN LAIN
Mengenal insan lain walau bukan perkara baru dalam hidup, namun tetap menyeronokkan. Insan-insan ini memasuki senarai baru sebagai sahabat, sejak aku menghadiri kursus International Journalism di Malaysian Press Institute, MPI. Sebulan berkampung di MPI, membuatkan kami rapat dan lebih saling mengenali. Aku jumpa mcm2 karektor manusia. Latarbelakang berbeza, dan kecenderungan yang tidak sama.
Aku akan menulis tentang mereka dalam facebook aku. Silalah kunjung.
Wednesday, July 22, 2009
PERASAAN YANG BERPERANG

Perasaan sifatnya bukan satu.
Ia banyak dan pelbagai.
Ia banyak dan pelbagai.
Kadangkala pelik, tapi benar.
Entah kenapa perasaan yang satu ini nadanya berlainan sekali dari biasa.
Ia membawa diri menghirup satu perjalanan yang maha panjang, indah penuh berbunga tapi sunyi dan kaku.
Pepohon di kiri kanan menghijau tapi penuh ranting mati.
Hujan turun seperti selalu, tapi tiap kali airnya menitik, terasa pedih mencarik kulit, hingga terkoyak dan tersayat.
Darah pun mengalir
Bila luka sebegitu tidak kuubati, lantas ia bertukar menjadi nanah
Ya jijik, tapi aku betah membiarkan ia begitu
Entah kenapa?
Tuhan mahu pergi dariku?
Atau aku yang tegar untuk berpaling dari-NYA?
Entah kenapa perasaan yang satu ini nadanya berlainan sekali dari biasa.
Ia membawa diri menghirup satu perjalanan yang maha panjang, indah penuh berbunga tapi sunyi dan kaku.
Pepohon di kiri kanan menghijau tapi penuh ranting mati.
Hujan turun seperti selalu, tapi tiap kali airnya menitik, terasa pedih mencarik kulit, hingga terkoyak dan tersayat.
Darah pun mengalir
Bila luka sebegitu tidak kuubati, lantas ia bertukar menjadi nanah
Ya jijik, tapi aku betah membiarkan ia begitu
Entah kenapa?
Tuhan mahu pergi dariku?
Atau aku yang tegar untuk berpaling dari-NYA?
Subscribe to:
Posts (Atom)


